Canon IXUS 230 HS

Canon IXUS 230 HS

IXUS 230 HS, sebuah lagi kamera kompak yang menawarkan rakaman gambar dan video berkualiti tinggi. Kamera terbaru ini berprestasi ditambah dengan keupayaan zoom menepati keperluan, semuanya jelas membuktikan kesempurnaan rekaan kamera elegan terbaru dari Canon.

Sekali imbas, pasti ramai yang tidak menyangka di sebalik rekaan mewah dan binaan nipis 22 milimeter, kamera Ixus terbaru itu menyembunyikan pelbagai kecanggihan baru dalam teknologi kamera kompak.

Mana tidaknya, pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui kamera yang mampu disimpan dengan mudah dalam poket kecil itu sebenarnya mempunyai lensa optikal berkeupayaan zoom sehingga 8x, penderia CMOS 12.1 megapixel dan skrin LCD berukuran tiga inci berteknologi PureColor II G.

Penambahbaikan ketara bagi keupayaan lensa 28 – 224 mm itu memberikan pengguna jangkauan rakaman yang lebih jauh – hampir mencapai empat kali ganda bagi jarak rakaman jika dibandingkan dengan resolusi kamera Ixus sebelum ini iaitu Ixus 220 HS dengan lensanya 24 – 120mm.

Bukan sekadar rakaman imej jauh, kamera Ixus 230 HS berupaya merakam imej makro dengan kualiti yang baik pada jarak fokus minimum yang hanya satu sentimeter dari objek.

Kualiti imej rakaman juga memuaskan apabila ia mampu menghasilkan imej-imej kompleks pada kualiti dan imbangan stabil termasuk imbangan pencahayaan sama ada cerah atau malap, imbangan warna putih, warna latar atau ketika menggunakan tapisan warna digital.
Saiz kompak bukan penghalang kepada Canon untuk menyediakan kejituan paparan rakaman apabila ia memaksimumkan ruang bahagian belakang Ixus untuk menempatkan skrin LCD tiga inci beresolusi 461,000 piksel dengan susunan butang kawalan – seperti butang menu dan pertukaran mode pada bahagian kanan pegangan.

Pada awalnya, mungkin agak kekok untuk mengawalnya ekoran saiz yang terlalu padat, namun lama-kelamaan pasti pengguna dapat menyesuaikannya lebih-lebih lagi apabila susunan butang kawalan itu sebenarnya amat membantu untuk akses pantas mengubah tetapan rakaman dan mode diperlukan.

Bagi penulis, penggunaan secara manual kamera kompak itu lebih mudah untuk memperoleh hasil menarik. Ini kerana penulis mendapati kelajuan pembetulan imej ketika menggunakan mode Autofocus agak perlahan jika dibandingkan dengan kamera kompak lain di pasaran ketika ini. Bagaimanapun, ia memadai untuk golongan yang baru berjinak-jinak dengan dunia fotografi.

Pembetulan imej Autofocus juga agak perlahan ketika penulis melaksanakan rakaman menggunakan mode video.

Namun, jika dipertimbangkan secara keseluruhan, rakaman beresolusi 1080p yang menepati kualiti definisi tinggi penuh (full HD) disokong sistem audio stereo, zoom optikal, sistem penstabil imej optikal dan kadar bit yang tinggi 33 Megabit sesaat, sudah cukup memberikan kepuasan untuk pengguna menikmati rakaman yang berkualiti lebih-lebih lagi apabila dimainkan semula pada televisyen berkualiti HD.

Spesifikasi:

* Lensa zoom optikal 8x (35mm; 28 – 224mm)
* Penstabil Imej Pintar (IS)
* Penderia CMOS 12.1 megapksel sensor
* Binaan besi nipis; +-22 milimeter
* Skrin 3.0 inch PureColor II G LCD screen
* Rakaman video Full HD disokong IS
* Smart Auto (32 mode rakaman)
* Rakaman filem kelajuan tinggi & ultra-perlahan
* konsep iFrame movie.

IXUS 230 HS Review